selepas 52 hari

xray1

kita tak akan kenal seseorang selagi kita tak tahu ‘isi hatinya’ walaupun berpuluh tahun kenal, walaupun berpuluh tahun duduk di bawah satu bumbung. justeru itu, semalam, aku ke sini semula selepas 52 hari abah pergi. segala kenangan yang berpusat di sini berumbi semula. melingkari setiap lorong, setiap selekoh; aku lakonkan semula apa yang aku buat dulu. menapak ke kedai serbaneka berdekatan dengan bahagian kecemasan, kalau dulu aku akan belikan sedikit buah, kuih atau air kopi panas untuk abah. kadang kala aku luangkan sedikit masa berdiri di situ, melihat masing-masing dengan urusan sendiri sebab aku rasa seperti orang di sini tidak punya ruang untuk memerhatikan orang lain. mungkin sebab aku berkelana berseorangan, nak menghiburkan hati jadi aku perhatikan orang yang lalu lalang di sini. tapi hiburan apa yang aku cari di sini. tempat kisah orang sakit dan tempat kisah orang pergi. dan pastinya, mereka di sini punya kisah tersendiri sebagaimana aku cuba melenyapkan diri disebalik orang lalu lalang hari itu. sampai saja di tingkat 2, wad 6A neurologi, aku melalui beberapa jururawat muda sedang berbual sesuatu, seakan berbisik. sekali lagi  aku menjadi orang asing di situ, berdiri di luar wad, melihat katil yang abah baring dulu, disebelahnya tingkap yang membuka pemandangan suburban bandar kuala lumpur. sebahagian besar kampung baru di luar sana. aku membayangkan abah masih di situ dan aku sedang berdiri di sebelahnya, berbual tentang apa saja. tapi katil tersebut kini milik orang lain, seorang lelaki india yang sebaya juga dengan abah, dengan mata layu, tangannya masih bersambung dengan tiub dripping. semuanya pesakit baru namun, perasaan rembang senjanya tetap sama memejat rasa. aku ke sini sebab ingin melihat ‘isi hati’ abah, cuba mencantum dan merungkai satu teka-teki terhadap satu perasaan yang tidak tertulis tentangnya. fail abah aku tengok sudah di atas meja, segala laporan dan filem x-ray sejak dari membuat rawatan awal tahun 2013. aku yang sudah terbiasa memproses sendiri filem hitam putih di rumah, melihat imej di bentuk di atas sekeping filem dengan grain yang kasar, dingin dan lesu amat merenggut rasa hati. namun setelah beberapa keping x-ray aku amati, persaan bertukar menjadi takjub akan keindahannya, corak dan larik yang cukup mempesonakan. satu persatu filem x-ray diletakkan di viewer. dan detak jantung semakin gusar, gelisah dan aku memohon damai dariNya; namun terus berdegup-degap.

IMG_6958

di viewer, aku amati setiap sendi. setiap laras tulang yang pernah mendukung aku, memeluk aku. inilah dia tulang empat kerat yang tak pernah lelah mencari rezeki demi keluarganya. minit demi minit berlalu dan imej x-ray menjadi semakin tajam membelah benak tatkala memikirkan ketiadaan jasad empunya imej ini. aku tahan dan tahan, perasaan yang semakin luluh, mengenangkan sahabat aku shamzul di sebelah, sengaja menjarakkan dirinya dengan aku, memberi sedikit ruang untuk aku merimbun rasa. inilah rusuk dan pinggang yang selalu aku peluk semasa membonceng naik motor atau basikal dulu. seingat aku, diantara adik beradik aku yang lain, akulah yang paling rajin ikut abah ke pasar chow kit. aku amati satu persatu hinggalah sampai ke dua keping xray yang menunjukkan musababnya dalam janji allah tentang hidup dan mati. betapa kerdilnya rasa ya tuhan, berbaur antara rasa takjub dan resah melihat kekuasaanMu terhadap hambanya. shamzul menunjukkan dua plet tulang belakang yang hampir rosak sepenuhnya, ketumbuhan di rusuk kiri dan di atas kepalanya. demi tuhan, mata yang melihat kesakitan yang ditanggung semasa hayatnya, maka di depan aku inilah puncanya. kesakitan yang amat sangat sampai menitis air mata abah menahannya. dan, berat mata memandang, berat lagi bahu yang menangggungnya; tapi abah sebagaimana dia, adalah seorang yang amat tabah dan cukup sabar.

xray2 xray3 xray4

jadi, petang itu aku berpeluang melihat ‘isi hatinya’ melalui beberapa keping filem xray MRI dan CT Scan. selepas 52 hari aku himpun kewarasan menerima kenyataan ini, belajar menjadi bodoh dan hina dengan ilmu bagai debu di hujung kuku, sesungguhnya kita ini semua milikNya dan kelupaan itu sendiri umpama kanser yang merebak ke seluruh badan. mengingatkan kita betapa kecilnya kita di mata tuhan namun kita boleh menjadi sebesar gunung pada mata orang lain. terima kasih buat sahabat aku, shamzul yang menolong memberi laluan untuk aku petang tu, moga dia dan keluarga terus berada di dalam rahmatNya. malam tu, aku tengok semula gambar-gambar lama abah, dengan sedikit kekuatan… ‘abah, segunung terima kasih kerana menjadi abah yang membentuk aku sekarang ini, semoga allah dengan limpah rahmatNya yang maha luas itu merahmatimu dan tuhan yang maha pengampun dan suka memberi keampunan, maka engkau ampunilah dia’

Advertisements

2 thoughts on “selepas 52 hari

  1. Dr apa yg bro coretkan dapat rasa apa yg bro cuba gambarkan
    Terima kasih bro dengan pengajaranya semoga aruah beroleh rahmat Allah S.W.T

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: